Sunday, 20 October 2013

PENGGUNAAN SET MOZEK HURUF UNTUK MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBENTUK PERKATAAN DALAM KALANGAN MURID PEMULIHAN


PENGGUNAAN SET MOZEK HURUF UNTUK MENINGKATKAN
KEMAHIRAN MEMBENTUK PERKATAAN DALAM
KALANGAN MURID PEMULIHAN



NANCY SARAH MICHAEL1
SELVARAJ A/L GRAPRAGASEM2


ABSTRTAK

Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran membaca dan mengeja dalam kalangan murid pemulihan. Kajian ini dijalankan ke atas dua orang murid pemulihan dalam lingkungan umur 9 tahun. Peserta kajian ini mempunyai masalah dalam kemahiran membaca dan mengeja. Oleh itu, Set Mozek Huruf diperkenalkan untuk membantu murid menguasai kemahiran mengeja sekaligus dapat mengesan tahap penguasaan murid dalam kemahiran yang sama. Murid diberi kebebasan untuk membentuk sebarang perkataan bermakna berdasarkan pengetahuan sedia ada mereka. Sepanjang kajian ini dilaksanakan, data kajian dikumpul melalui kaedah pemerhatian, jurnal dan ujian penilaian.

ABSTRACT
This study is conducted with the aim to help remedial students to improve their skills in reading and spelling. The study is carried out on two remedial students who are 9 years old and having problems in reading and spelling words. Mosaic set of letters is used to track students’ proficiency level in forming and spelling words. Students are given the freedom to form any words based on their existing knowledge. Data were collected through observation, journal and test evaluation.


PENDAHULUAN

Pendidikan ialah penyumbang utama  kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan. Justeru, pendidik memerlukan pendekatan dan strategi baharu agar setiap murid  mampu memiliki dan menguasai kemahiran yang diperlukan terutamanya kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.  Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, setiap kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang berhak mendapat pendidikan berkualiti bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing.  Melalui konteks ini, penekanan tidak hanya terbatas kepada kanak-kanak normal sahaja malah turut merangkumi kanak-kanak yang menghadapi kesulitan dalam pembelajaran seperti kanak-kanak pemulihan. Kanak-kanak pemulihan perlu diasuh dengan menggunakan strategi serta kaedah pengajaran yang istimewa dan berkesan.


FOKUS KAJIAN

Kajian yang telah dijalankan ini adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran murid dalam  membentuk perkataan. Saya telah  menggunakan set mozek huruf sebagai bahan bantu mengajar yang bertujuan untuk memberi motivasi kepada murid untuk membina perkataan dengan menggabungkan mozek-mozek huruf. Penggunaan bahan ini melibatkan pendekatan kinestetik iaitu murid akan memilih serta menyusun sendiri mozek-mozek huruf bagi membentuk perkataan bermakna.


OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian adalah seperti berikut :
i)                    Meninjau penggunaan Set Mozek Huruf sebagai satu strategi untuk membantu muris pemulihan menguasai kemahiran mengeja perkataan.
ii)                  Mengesan perkembangan murid dalam kemahiran membentuk perkataan setelah menggunakan Set Mozek Huruf.


PERSOALAN KAJIAN

Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk menjawab persoalan-persoalan berikut:
i)                    Adakah penggunaan set mozek huruf sesuai digunakan untuk membantu murid pemulihan menguasai kemahiran membentuk perkataan?
ii)                  Apakah perkembangan yang dikesan dalam kalangan murid setelah menggunakan Set Mozek Huruf?


TINJAUAN LITERATUR

Hilary Awan (2005), dalam kajiannya mengatakan bahawa murid yang mengalami masalah dalam menguasai kemahiran membaca perlu diberi latih tubi bertulis dan bacaan. Mereka dimulakan dengan suku kata asas a, e, i, o, u dan seterusnya huruf-huruf konsonan. Seterusnya, mereka dilatih dan diajar membunyikan suku kata yang dicantumkan iaitu dua suku kata. Setelah memastikan mereka dapat membunyikan setiap suku kata dengan baik, baharulah mereka didedahkan dengan ayat mudah.
Aspalaia dan Maslinda (2006) dipetik oleh Kiu Su Na (2012) mengatakan murid diajar menggunakan bahan bantu mengajar seperti kad perkataan KVK, kad perkataan KV+KVK, kad ayat gabungan pelbagai suku kata dan petikan ayat yang mudah berjaya meningkatkan penguasaan mengeja dan membaca murid. Manakala dalam satu kajian lain, Aspalaia dan Maslinda (2008) mendapati bahawa pengajaran secara berperingkat berjaya meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan murid pra sekolah. 
Menurut Denis Hayes dalam buku Inspiring Primary Teaching (2006), menyatakan,

“A wide variety of functions have been attributed to play (e.g., Saracho & Spodek, 1998). Classical theories of play saw it as a means of exercising skills that will be required later in life …play  is an instinctive way of acquiring and rehearsing future skills. “

Berdasarkan kenyataan di atas, kaedah bermain adalah sangat penting kerana ia merupakan latihan asas dalam kehidupan sebenar dan  ia merupakan cara untuk meningkatkan kemahiran murid dalam pelbagai aspek. Hal ini demikian kerana, melalui permainan murid dapat meningkatkan kemahiran berfikir.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Steinberg dan Yamada (dalam Steinberg, 1982), dipetik oleh Zulkifley (2006) menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belajar membaca dengan menggunakan tulisan kanji (bermakna) dapat membaca dengan lebih cepat daripada kanak-kanak yang membaca dengan menggunakan tulisan kana (tidak bermakna).
Menurut Zulkifley (2006:149),dipetik oleh Kiu Su Na (2012) menyatakan bahawa kaedah perkataan tidak memulakan pengajaran dengan memperkenalkan lambang-lambang huruf yang tidak bermakna tetapi dimulakan dengan memperkenalkan perkataan-perkataan yang bermakna. Cara ini dilakukan untuk menyuburkan minat murid untuk membaca. Guru akan menyediakan gambar-gambar seperti bola, meja, kaki dan sebagainya. Gambar-gambar ini kemudian dilabelkan. Guru akan membunyikan perkataan yang tertulis di bawah gambar dan murid disuruh menyebut perkataan sambil mengenal gambarnya. Setelah kanak-kanak dapat membina senarai perkataan yang agak banyak, barulah pencerakinan kepada suku kata dilakukan kemudian kepada huruf-huruf yang membentuk suku kata tersebut.
Menurut Thomas Keenan dalam buku An Introduction to Child Development menyatakan,
“When we communicate successfully...we need to be able to produce the sounds that make up a language and convey meanings...we need to know what the words of language mean…”

Berdasarkan kenyataan yang dikemukakan oleh Thomas Keenan (2006), saya  merumuskan bahawa keupayaan seseorang bertutur dengan baik dipengaruhi oleh penguasaan kosa kata atau perbendaharaan kata individu tersebut. Oleh itu, penguasaan kosa kata adalah aspek yang penting diterapkan dalam diri kanak-kanak. Penguasaan yang baik akan membantu mempermudahkan pemahaman murid dalam pembelajaran.




RUJUKAN
Denis Hayes. (2006). Inspiring Primary Teaching: Straight Into Excellent Primary Practice. United Kingdom : Learning Matters Ltd.
Hilary Awan. (2005). Bacalah Sayang. Koleksi Laporan Penyelidikan Tindakan Tahun 2005. Sekolah Kebangsaan Tebakang, Sarawak
Kiu Su Na (2012). Meningkatkan Kemahiran Membaca Ayat-Ayat Yang Mengandungi Perkataan Gabungan Dua Suku Kata Terbuka (KV+KV) Melalui Bacaan Bergred. Buku Kajian Tindakan Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak.
Thomas Keenan. (2006). An Introduction to Children Development. London : SAGE Publications Ltd.
Zulkifley Hamid (2006). Aplikasi Psikolinguistik Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa. Selangor : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.



Jabatan Ilmu Pendidikan
Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak
Jalan Bakam, 98000 Miri, Sarawak