PENGGUNAAN SET MOZEK HURUF UNTUK MENINGKATKAN
KEMAHIRAN MEMBENTUK PERKATAAN DALAM
KALANGAN MURID PEMULIHAN
NANCY SARAH MICHAEL1
SELVARAJ A/L
GRAPRAGASEM2
ABSTRTAK
Kajian
ini dijalankan dengan tujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran membaca dan
mengeja dalam kalangan murid pemulihan. Kajian ini dijalankan ke atas dua orang
murid pemulihan dalam lingkungan umur 9 tahun. Peserta kajian ini mempunyai
masalah dalam kemahiran membaca dan mengeja. Oleh itu, Set Mozek Huruf
diperkenalkan untuk membantu murid menguasai kemahiran mengeja sekaligus dapat
mengesan tahap penguasaan murid dalam kemahiran yang sama. Murid diberi
kebebasan untuk membentuk sebarang perkataan bermakna berdasarkan pengetahuan
sedia ada mereka. Sepanjang kajian ini dilaksanakan, data kajian dikumpul
melalui kaedah pemerhatian, jurnal dan ujian penilaian.
ABSTRACT
This study is conducted with the aim to help
remedial students to improve their skills in reading and spelling. The study is
carried out on two remedial students who are 9 years old and having problems in
reading and spelling words. Mosaic set of letters is used to track students’
proficiency level in forming and spelling words. Students are given the freedom to form any
words based on their existing knowledge. Data were collected through
observation, journal and test evaluation.
PENDAHULUAN
Pendidikan
ialah penyumbang utama kepada
pembangunan modal sosial dan ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus
kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran
yang diperlukan. Justeru, pendidik memerlukan pendekatan dan strategi baharu
agar setiap murid mampu memiliki dan
menguasai kemahiran yang diperlukan terutamanya kemahiran asas 3M iaitu
membaca, menulis dan mengira.
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, setiap
kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang
berhak mendapat pendidikan berkualiti bagi membolehkan mereka mencapai potensi
masing-masing. Melalui konteks ini,
penekanan tidak hanya terbatas kepada kanak-kanak normal sahaja malah turut
merangkumi kanak-kanak yang menghadapi kesulitan dalam pembelajaran seperti
kanak-kanak pemulihan. Kanak-kanak pemulihan perlu diasuh dengan menggunakan
strategi serta kaedah pengajaran yang istimewa dan berkesan.
FOKUS KAJIAN
Kajian yang telah dijalankan ini adalah bertujuan untuk
membantu meningkatkan kemahiran murid dalam
membentuk perkataan. Saya telah
menggunakan set mozek huruf sebagai bahan bantu mengajar yang bertujuan
untuk memberi motivasi kepada murid untuk membina perkataan dengan
menggabungkan mozek-mozek huruf. Penggunaan bahan ini melibatkan pendekatan
kinestetik iaitu murid akan memilih serta menyusun sendiri mozek-mozek huruf
bagi membentuk perkataan bermakna.
OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian
adalah seperti berikut :
i)
Meninjau
penggunaan Set Mozek Huruf sebagai satu strategi untuk membantu muris pemulihan
menguasai kemahiran mengeja perkataan.
ii)
Mengesan
perkembangan murid dalam kemahiran membentuk perkataan setelah menggunakan Set
Mozek Huruf.
PERSOALAN KAJIAN
Kajian tindakan
ini dijalankan bertujuan untuk menjawab persoalan-persoalan berikut:
i)
Adakah
penggunaan set mozek huruf sesuai digunakan untuk membantu murid pemulihan
menguasai kemahiran membentuk perkataan?
ii)
Apakah
perkembangan yang dikesan dalam kalangan murid setelah menggunakan Set Mozek
Huruf?
TINJAUAN LITERATUR
Hilary
Awan (2005), dalam kajiannya mengatakan bahawa murid yang mengalami masalah
dalam menguasai kemahiran membaca perlu diberi latih tubi bertulis dan bacaan.
Mereka dimulakan dengan suku kata asas a, e, i, o, u dan seterusnya huruf-huruf
konsonan. Seterusnya, mereka dilatih dan diajar membunyikan suku kata yang
dicantumkan iaitu dua suku kata. Setelah memastikan mereka dapat membunyikan
setiap suku kata dengan baik, baharulah mereka didedahkan dengan ayat mudah.
Aspalaia
dan Maslinda (2006) dipetik oleh Kiu Su Na (2012) mengatakan murid diajar
menggunakan bahan bantu mengajar seperti kad perkataan KVK, kad perkataan
KV+KVK, kad ayat gabungan pelbagai suku kata dan petikan ayat yang mudah
berjaya meningkatkan penguasaan mengeja dan membaca murid. Manakala dalam satu
kajian lain, Aspalaia dan Maslinda (2008) mendapati bahawa pengajaran secara
berperingkat berjaya meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan murid pra
sekolah.
Menurut
Denis Hayes dalam buku Inspiring Primary Teaching (2006), menyatakan,
“A wide variety of functions have been attributed to
play (e.g., Saracho & Spodek, 1998). Classical theories of play saw it as a
means of exercising skills that will be required later in life …play is an instinctive way of acquiring and
rehearsing future skills. “
Berdasarkan
kenyataan di atas, kaedah bermain adalah sangat penting kerana ia merupakan
latihan asas dalam kehidupan sebenar dan
ia merupakan cara untuk meningkatkan kemahiran murid dalam pelbagai
aspek. Hal ini demikian kerana, melalui permainan murid dapat meningkatkan
kemahiran berfikir.
Menurut
kajian yang dilakukan oleh Steinberg dan Yamada (dalam Steinberg, 1982),
dipetik oleh Zulkifley (2006) menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belajar
membaca dengan menggunakan tulisan kanji (bermakna) dapat membaca dengan lebih
cepat daripada kanak-kanak yang membaca dengan menggunakan tulisan kana (tidak
bermakna).
Menurut
Zulkifley (2006:149),dipetik oleh Kiu Su Na (2012) menyatakan bahawa kaedah
perkataan tidak memulakan pengajaran dengan memperkenalkan lambang-lambang
huruf yang tidak bermakna tetapi dimulakan dengan memperkenalkan
perkataan-perkataan yang bermakna. Cara ini dilakukan untuk menyuburkan minat
murid untuk membaca. Guru akan menyediakan gambar-gambar seperti bola, meja,
kaki dan sebagainya. Gambar-gambar ini kemudian dilabelkan. Guru akan
membunyikan perkataan yang tertulis di bawah gambar dan murid disuruh menyebut
perkataan sambil mengenal gambarnya. Setelah kanak-kanak dapat membina senarai
perkataan yang agak banyak, barulah pencerakinan kepada suku kata dilakukan
kemudian kepada huruf-huruf yang membentuk suku kata tersebut.
Menurut
Thomas Keenan dalam buku An Introduction
to Child Development menyatakan,
“When we communicate successfully...we need to be
able to produce the sounds that make up a language and convey meanings...we
need to know what the words of language mean…”
Berdasarkan
kenyataan yang dikemukakan oleh Thomas Keenan (2006), saya merumuskan bahawa keupayaan seseorang
bertutur dengan baik dipengaruhi oleh penguasaan kosa kata atau perbendaharaan
kata individu tersebut. Oleh itu, penguasaan kosa kata adalah aspek yang
penting diterapkan dalam diri kanak-kanak. Penguasaan yang baik akan membantu
mempermudahkan pemahaman murid dalam pembelajaran.
RUJUKAN
Denis
Hayes. (2006). Inspiring Primary Teaching:
Straight Into Excellent Primary Practice. United Kingdom : Learning Matters
Ltd.
Hilary
Awan. (2005). Bacalah Sayang. Koleksi
Laporan Penyelidikan Tindakan Tahun 2005. Sekolah Kebangsaan Tebakang, Sarawak
Kiu
Su Na (2012). Meningkatkan Kemahiran
Membaca Ayat-Ayat Yang Mengandungi Perkataan Gabungan Dua Suku Kata Terbuka
(KV+KV) Melalui Bacaan Bergred. Buku Kajian Tindakan Institut Pendidikan
Guru Kampus Sarawak.
Thomas
Keenan. (2006). An Introduction to Children Development. London : SAGE
Publications Ltd.
Zulkifley
Hamid (2006). Aplikasi Psikolinguistik Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Bahasa. Selangor : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Jabatan Ilmu
Pendidikan
Institut
Pendidikan Guru Kampus Sarawak
Jalan Bakam,
98000 Miri, Sarawak












