Thursday, 13 February 2014

Contoh Jurnal Praktikum (2)

JURNAL MINGGUAN
MASALAH :
Minggu ini masuk minggu ketiga praktikum fasa ketiga berlangsung. Sepanjang mengajar mata pelajaran Matematik Kelas 3 Bestari, saya dapati masih ada murid yang suka mengganggu rakan dan membuat bising dalam kelas. Bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh murid-murid ini mengganggu rakan-rakan lain yang sedang memberi tumpuan terhadap pelajaran. Bagi mengelakkan murid ini mengganggu rakannya, saya telah mengasingkan murid ini dengan memintanya duduk di meja guru dan saya telah memberikan beberapa soalan mudah untuk dia selesaikan. Walau bagaimanapun, murid ini masih mengganggu rakan-rakan lain dengan membuat pelbagai aksi lucu yang mampu menarik perhatian rakan sekelasnya lalu tumpuan murid lain akan beralih padanya.

ANALISIS MASALAH :
Sejak awal lagi saya telah dimaklumkan oleh beberapa orang guru bahawa kelas ini merupakan kelas yang terkenal dengan sifat muridnya yang nakal dan sukar mendengar kata. Selain itu, mereka juga dikatakan suka meminta perhatian guru. Setelah beberapa kali mengajar kelas ini, barulah saya faham situasi dalam kelas ini. Saya merasa cukup garang terhadap mereka namun murid tetap menunjukkan tingkah laku yang tidak baik.

CADANGAN PENYELESAIAN :
Bagi mengelakkan murid membuat bising dan mengganggu dalam kelas, saya menjalankan sistem token ekonomi. Saya telah membahagikan murid kepada 3 kumpulan besar iaitu 8 orang sekumpulan. Prestasi setiap murid akan dinilai setiap kali pengajaran Matematik dilaksanakan. Prestasi dinilai berdasarkan aspek kepatuhan, kerjasama, dan sahsiah murid. Kumpulan yang menunjukkan tingkah laku yang baik akan diberi satu stiker manakala satu sticker akan ditanggalkan bagi setiap tingkah laku negative yang ditunjukkan. Pemberian stiker ini akan berlangsung sehingga tamat tempoh praktikum. Kumpulan yang berjaya mengumpul paling banyak sticker akan diberi ganjaran sesuai dengan jumlah sticker yang telah dikumpul. Berasaskan Teori Pelaziman Operan Skinner, peneguhan positif adalah rangsangan untuk menambah kebarangkalian pengulangan tingkah laku positif yang diingini. Maka, setiap kumpulan akan berlumba-lumba mendapatkan sticker sebanyak mungkin dan murid akan memastikan setiap sticker yang berjaya dikumpul tidak akan ditanggalkan.
Penilaian secara individu pula akan dinilai melalui pemerhatian semasa melaksanakan aktiviti dalam kelas. Murid yang menunjukkan tingkah laku yang baik dan selalu member kerjasama akan mendapat ganjaran daripada guru. Murid yang mendapat ganjaran ini akan menjadi motivasi kepada murid lain untuk menunjukkan tingkah laku yang sama. Menurut Mok Soon Sang (2008), motivasi ini merupakan motivasi ekstrinsik. Ia diwujudkan daripada rangsangan luaran bertujuan untuk menggerakkan orang lain untuk melakukan sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepadanya.

TEMPOH PELAKSANAAN :
4 Februari 2013 – 19 April 2013

TINDAKAN SUSULAN :
Guru menyediakan carta Token Ekonomi yang mengandungi nama setiap kumpulan. Carta ini juga mengandungi aspek-aspek penilaian yang digunakan oleh guru dalam menilai murid. Carta ini akan dipaparkan di hadapan kelas dan ditampal pada papan notis. Guru akan membuat penilaian semasa mata pelajaran Matematik berlangsung. Nama murid yang berjaya mendapat ganjaran daripada guru juga akan dipaparkan pada carta ini bagi memotivasikan murid-murid lain.

Catatan :
Teknik pengubahsuaian tingkah laku menggunakan sistem token iaitu merupakan satu modifikasi tingkahlaku yang dirancang untuk meningkatkan tingkahlaku yang diinginkan serta mengurangkan tingkahlaku yang tidak diinginkan dengan menggunakan token. Individu diberi token setelah menunjukkan tingkahlaku yang diinginkan dan mengumpul token tersebut serta menukarkannya dengan sesuatu objek atau penghargaan. Sistem ekonomi token ini merupakan sistem ‘reinforcement’  untuk tingkahlaku yang dirancang. Individu tersebut mesti diberi ganjaran untuk meningkatkan perilaku yang dikehendaki.
Burrhus F. Skinner telah membuat suatu teori berkaitan dengan prinsip-prinsip utama pelaziman operan atau tindak balas terhadap sesuatu perlakuan. Dalam teori ini, makhluk hidup mempunyai pilihan untuk berindak balas atau tidak, berasaskan kepada ganjaran yang disediakan. Guru memainkan peranan yang penting dalam memberi peneguhan terhadap murid berdasarkan setiap perubahan yang dapat dikesan. Guru seharusnya bijak melihat keadaan persekitaran sebelum membuat sesuatu tindakan.

RUJUKAN :


No comments:

Post a Comment